Syarat Ubahsuai Kediaman

by NHI Cemerlang on Thursday, 29 September 2011 at 13:51
Sumber kewangan, pemilihan perunding dan kontraktor perlu diutama 

PENGUBAHSUAIAN rumah bagai satu kemestian dalam aliran gaya terkini. Kenapa pemilik kediaman ingin mengubahsuai rumahnya? Ini soalan yang perlu dijawab setiap pembeli rumah.
Usaha ini dikatakan perlu apabila pihak pemaju gagal mengambil kira keperluan semasa manakala arkitek terbabit tidak melakukan kajian terperinci kehendak bakal pembeli, terutama bagi menyediakan keperluan ruang optimum. Akibatnya, pembeli mengambil keputusan mengubahsuai bagi mewujudkan ruang sempurna dan selesa. Jawapan lazim apabila membincangkan pengubahsuaian ialah ruang sedia ada tidak berupaya menampung keperluan seluruh penghuni dan ini mungkin disebabkan bilangan keluarga sudah bertambah. Selain itu, perancangan ruang tidak cekap, penggunaan bahan tidak sesuai di samping bukaan tingkap dan pintu tidak memenuhi kehendak semasa.

Walau apapun jawapan diterima, pengubahsuaian perlu dilaksanakan sama ada ia dalam skala besar mahupun kecil. Sebelum pengubahsuaian dilakukan, aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah sumber kewangan dan pemilihan perunding dan kontraktor.

Sumber Kewangan

Sebelum timbul idea mengubahsuai rumah, perkara pertama perlu difikirkan adalah sumber kewangan untuk menampung kos pembinaannya. Jika ada pun, adakah ia mencukupi bagi menampung keseluruhan idea pengubahsuaian? Antara perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk:



  • Mengenalpasti belanjawan realistik. 





  • Bandingkan jumlah mampu untuk dibelanjakan dengan nilai pengubahsuaian. 





  • Sekiranya ingin membuat pinjaman, buat perbandingan dengan institusi kewangan atau bank berdaftar dan minta nasihat dari rakan atau saudara yang pernah melakukannya. 





  • Bagi yang tidak pasti, aturkan rundingan bersama juru reka bentuk dalaman profesional untuk nasihat serta cadangan. Harus diingat, perunding akan mengenakan beberapa peratus bayaran terhadap setiap khidmat rundingannya. 





  • Jika tidak memerlukan perunding reka bentuk dalaman, buat perbandingan sebut harga dan bekalan barang membabitkan beberapa kontraktor dan pembekal. 





  • Lebih banyak pengubahsuaian dibuat maka lebih tinggi kosnya selain sumber kewangan tambahan diperlukan untuk pembelian perabot dan kemasan baru. 





  • Belanjawan teratur dan sumber kewangan jelas membantu kita membuat keputusan serta menyusun jadual supaya pengubahsuaian siap mengikut jadual ditetapkan. 





  • Dalam menilai cadangan ubahsuai, anda perlu dapatkan sekurang-kurangnya tiga cadangan harga daripada kontraktor dan perunding perekabentuk dalaman. Amat penting untuk mendapatkan tiga anggaran harga untuk kita memilih kontraktor yang mampu menawarkan harga berpatutan. 





  • Pastikan setiap anggaran adalah tepat dan menyeluruh mengikut cadangan dan ia hendaklah direkodkan untuk rujukan. Sekiranya tidak dibuat secara bertulis, kemungkinan berlaku pertukaran jumlah harga seterusnya menyebabkan bajet melebihi anggaran. Ini dipanggil kos tersembunyi yang mungkin menimbulkan pelbagai masalah. 

    Pemilihan Perunding dan Kontraktor 

    Pilih perunding reka bentuk dalaman dan kontraktor yang mampu menawarkan harga menguntungkan. 

    Fungsi perunding reka bentuk memberi khidmat nasihat dan membuat cadangan reka bentuk secara profesional. 






  • Membuat lakaran cadangan dalam bentuk dua dimensi iaitu pelan, keratan dan pandangan sisi. 





  • Membuat lakaran cadangan dalam tiga dimensi iaitu pandangan perspektif. 





  • Membuat anggaran kos, pilihan kemasan dan jadual pembinaan. 





  • Menyedia kerja-kerja pembinaan mengikut cadangan dan butiran yang dipersetujui. 





  • Membuat permohonan untuk mendapat kelulusan dari pihak penguasa tempatan (PBT) dan hal-hal berkaitan kelulusan pembinaan pengubahsuaian. 

    Kontraktor atau jurubina adalah mereka yang melaksana pembinaan mengikut cadangan disediakan oleh perunding reka bentuk dalaman berdasarkan arahan dari segi lukisan pelan dan binaan yang disediakan. Kontraktor akan menyediakan kos pembinaan berdasarkan pilihan bahan dan nilai kerja yang perlu dilakukan dan perlu menyiapkan kerja mengikut jadual dan memohon bayaran berdasarkan kos yang dipersetujui mengikut sebut harga dan kontrak. 

    Perlu diingat, kontraktor tidak boleh sewenang-wenang membuat kerja yang bukan skop kerja dan memohon bayaran tanpa dipersetujui oleh tuan rumah dan perunding. 

    Sebelum melantik baik perunding reka bentuk mahupun kontraktor, anda dinasihatkan berhati-hati terutama mereka yang cuba menipu. Cari perunding yang berdaftar dengan badan reka bentuk profesional kerana mereka ada skala yuran profesional yang perlu diikuti. Kaji dan selidik keupayaan perunding dan kontraktor dengan merujuk kerja-kerja yang pernah dilakukan. 

    Selepas menyelidik dan berpuas hati, barulah keputusan dibuat. Jangan buat apa-apa pembayaran sehingga kontraktor membuat kerja-kerja awalan dan bayar hanya atas nilai kerja yang dilakukan atau mengikut kemajuan kerja. Setiap kerja dilakukan mesti mempunyai jaminan terhadap kesan kecacatan kerja dan kontraktor perlu membaiki sebelum semua pembayaran dibuat. 

    Pilihan berdasarkan cadangan dan sokongan rakan yang pernah berurusan dengan kontraktor atau juru reka terbabit bagi membantu kita mengkaji keupayaan dan seterusnya menjalinkan hubungan komunikasi yang baik dengan mereka. 

    Sebelum membuat sebarang keputusan, pemilik kediaman dinasihatkan memilih juru reka dan kontraktor berdaftar, baik dalam dokumentasi kontrak mahupun pengurusan projek sistematik. Mempunyai rekod baik dalam keupayaan tahap kerja terdahulu selain mampu berkomunikasi dengan baik. 

    Risiko utama pengubahsuaian rumah biasanya membabitkan masalah kewangan pemilik ataupun kontraktor lari sebelum kerja selesai. Justeru, bagi memastikan masalah tidak timbul, jadikan beberapa peringatan diutarakan tadi sebagai panduan. Peringatan ini penting bagi melancarkan kerja pengubahsuaian selain memastikan pemilik rumah mendapat kediaman idaman yang diimpikan. 




  • 0 komen:

    Post a Comment

    top
    Apple iPhone - Cell Mobile Phone