Boleh mohon projek PR1MA lain'


2011/10/17

Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum@bharian.com.my



Pemohon gagal masih ada peluang, beberapa kawasan dikenalpasti untuk dibangun

KUALA LUMPUR: Pemohon Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang tidak berjaya dipilih bagi projek pertama di Presint 11, Putrajaya, kelmarin boleh memohon semula bagi projek PR1MA akan datang.
Kerajaan dijangka melancarkan beberapa program rumah mampu milik itu tahun depan yang dibuka permohonannya kepada warga Malaysia berpendapatan sederhana tetapi tidak melebihi RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka bekerja dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata pihaknya sudah mengenalpasti beberapa kawasan sekitar bandar seperti Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Tun Razak, Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk dibangunkan di bawah program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pemaju hartanah terkemuka di negara ini termasuk SP Setia Bhd, Sime Darby Bhd dan Cyberview bagi pelancaran program PR1MA seterusnya.

“Pemohon yang tidak terpilih menjadi pemilik rumah bagi program PR1MA yang membabitkan 560 unit pangsapuri di Presint 11 jangan berkecil hati. 

“Sebenarnya mereka masih mempunyai peluang untuk memohon bagi program PR1MA akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam. 
Lebih 7,000 permohonan diterima bagi program PR1MA di Presint 11 dan hanya 560 pemohon terpilih menjadi pemilik pertama program itu manakala 200 lagi dipilih dalam senarai menunggu.

Abdul Mutalib menjelaskan 200 pemohon yang terpilih dalam senarai menunggu berpeluang memiliki rumah berkenaan sekiranya pemohon dipilih dalam senarai awal gagal memperoleh pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan.

Rumah program PR1MA di Presint 11 itu ditawarkan pada harga RM120,000 dan RM150,000 seunit berbanding harga pasaran rumah berkenaan iaitu RM175,000 dan RM220,000 seunit.

Projek dijangka siap menjelang 2014 itu dibangunkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Unit PR1MA, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata, akta khas mengenai penubuhan Perbadanan Program PR1MA itu akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, penubuhan perbadanan itu bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek itu di seluruh negara selain menentukan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.


Program PR1MA dilancarkan bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana yang hidup di bandar besar untuk memiliki rumah sendiri dengan harga berpatutan.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan, berkata kerajaan akan mengkaji membantu menyelesaikan masalah 6,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Maju yang tidak mampu membayar sewa rumah, bil air dan bil elektrik.

“Kajian semula akan dibuat kerana kebanyakan penduduk PPR ini berasal dari kawasan setinggan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Deepavali kepada fakir miskin sekitar Wangsa Maju, di sini, semalam. 

0 komen:

Post a Comment

top
Apple iPhone - Cell Mobile Phone